::Selamat Datang Ke MySelamba::
Sila Daftar/Log in Untuk Akses Ke Section Download & Lain²
Log in

I forgot my password

P’daftaran Staff MySelamba
Nama:
Email Address:
Memohon Jawatan:
Masa Online Dlm Sehari (Dalam Jam):
No HP:
Sebab Memohon:


Cerpen : SoFea Zarra

View previous topic View next topic Go down

Cerpen : SoFea Zarra

Post by Apai on Fri 15 Jul 2011, 3:48 pm

Oleh : awin awina
Kamar beradu terasa sunyi dan meremangkan. Malam yang merangkak tua semakin mendebarkan rasa dijiwa. Duduk bersimpuh di birai katil menunggu kedatangan sang suami dengan resah dan cemas yang menyesakkan dada.

Lama benar rasanya mengharungi waktu – waktu janggal begini. Apakah dia juga merasai apa yang aku rasakan?. Gemuruh dan berdebar. Atau mungkin juga aku seorang saja yang berperasaan sebegitu…

Pada mulanya aku amat membantah cadangan ini. Namun pujukan demi pujukan akhirnya aku akur jua dengan keputusan papa. Papa terlalu menyayangi aku. Dia tidak mahu hidupku disia – siakan dan dikecewakan lagi. Oleh itu papa amat berhati – hati memilih jodohku kali ini. Dia amat berharap pilihannya ini tepat dan mampu bertahan hingga akhir hayat. Khabarnya, anak kepada sahabat lama papa semasa di zaman persekolahannya.

Ah! pedulikan…segalanya telah diatur oleh papa cuma aku yang perlu bersedia menunggu nasibku selepas ini.

“Assalammualaikum….” Resahku berakhir jua dengan salam hormat yang dihulur suami penuh adab.

“Wa’alaikummusalam wbt….” Aku menyambut dengan senyuman manis.

“Aku Rizal” spontan kata itu diucapkan.

Tersentap hatiku tatkala suara garau itu membahasakan dirinya sebagai ‘aku’ namun cepat – cepat aku sembunyikan rasa terkilan itu. Sudah kujangkakannya dari awal. Mungkin dia perlukan masa untuk menerima perkahwinan ini. Maklumlah perkahwinan tanpa rela, tak siapa pun mahu lebih – lebih lagi lelaki yang bernama Rizal itu yang langsung tidak aku kenali.

“Emm..saya Sofea” aku menghulurkan tangan untuk berjabat dengannya.Cuba bermesra sebaik mungkin mengenepikan segala rasa kecewaku sebentar tadi. Senyuman dibibir tak lekang diwajahku. Seorang isteri perlu sentiasa bermanis dipandangan suami. Itu yang aku pelajari dari Mak Som. Lama juga aku menanti, namun huluran itu tidak mendapat sambutan darinya atau….

“Kau nak salam dengan siapa tu? Aku berdiri kat tepi sini, kau tak nampak ke…kalau dah buta tu, buat cara buta, tak payah nak bersalam – salam… huh!”.

Sayu dan pilu. Perasaan itu serta – merta mencengkam lubuk hatiku. Aku benar – benar tidak menyangka kata – kata itu lahir dari bibir lelaki itu.

Airmata merembes keluar tanpa dipinta. Kasar sungguh bahasanya. Terhiris pedih hati yang pernah terluka ini. Serasa amat terhina dengan kata – katanya itu. Salahkah aku buta? Hinakah aku begini?. Hati sedih dan semakin pedih. Kali ini suami pilihan papa terlalu melukai hatiku jika dibandingkan dengan sebelumnya.

“Tak payahlah kau nak menangis. Kau pun tahukan, aku terima ikatan ini pun sebab bapak aku. Aku terpaksa… faham!”.

“Terpaksa? Saya tak mengerti. Bukankah awak boleh menolak, kenapa awak masih nak terima perkahwinan ini” tempelakku.

“Senang lah kau bercakap. Semua ni gara – gara bapak aku. Berhutang dengan bapak kau sampai diri aku pun tergadai. Kau jangan ingat diri aku boleh dijual beli. Aku masih waras untuk memilih perempuan yang baik dibuat isteri bukannya buta macam kau. Kekayaan bapak kau tak jamin apa-apa …walau kau tu cantik bagai bidadari sekalipun tapi sorry!… aku memang tak boleh terima yang isteri aku cacat. Mana aku nak letakkan muka aku ni, pasti aku akan ditertawakan oleh kawan – kawan aku nanti. Aku boleh dapat isteri yang lebih baik dan lebih sempurna dari kau, tahu tak!” luah Rizal dengan riak tanpa memikirkan perasaan aku yang semakin terluka ketika ini.

Betapa hatiku tersayat pilu dengan penghinaan Rizal. Mengapa persoalkan lagi kecacatan ini sekiranya kebenarannya telah nyata?. Aku cacat! Aku tidak sempurna seperti gadis yang lain. Mengapa kau terima aku? Kenapa?.!!

Aku sedaya – upaya menahan airmata dari terus mengalir namun tidak terdaya kudratku yang lemah dan aku berterus – terusan teresak disitu. Dia hanya membiarkan aku menangis sendirian.

Dengan sisa hiba yang masih berbaki, aku menarik nafas sedalam – dalamnya. Zikir dihati kupanjangkan. Moga jiwaku yang lara bisa ditenteram dengan ayat – ayat yang suci.

Dalam nada suara yang masih lemah dan sendu, aku mengalah. Tiada ertinya memanjangkan lagi perkahwinan ini yang hanya mengundang keperitan dihatiku.

“Kalau begitu kata awak Rizal. Lepaskan saya. Saya tidak mahu memaksa apatah lagi menyusahkan awak dengan meneruskan ikatan ini. Saya tahu kebencian awak terhadap diri saya. Saya juga sedar sukar untuk sesiapa pun menerima kecacatan ini. Saya redha…Rizal. Ceraikan saya….anggaplah hutang antara bapak awak dengan papa saya selesai selepas terlerainya perkahwinan ini”.

“a…a…aku…aku….” tergagap bicara Rizal. Mungkin tidak menyangka dengan apa yang aku luahkan. Barangkali itu kemahuannya yang sebenar cuma dia yang masih teragak – agak.

“Janganlah awak khuatir. Saya akan tanggung semua akibatnya” ucapku dalam nada ketar. Aku cuba menyembunyikan perasaan hibaku.

Sayu hatiku tatkala mendengar lafaz talak dari bibir seorang suami yang belumpun sempat aku raih kasih sayangnya. Inilah kali pertama lafaz itu bergema di ruang pendengaranku. Sebak didada bagaikan dipalu. Aku terduduk sendirian. Telinga menangkap derapan langkah kaki Rizal meninggalkan ruang kamar pengantin tanpa sepatah kata.

Riuh – rendah aku dengar dari tingkat bawah. Suara papa yang gemersik memecah keheningan malam itu. Saudara – mara yang lain turut kedengaran meraung dengan kepermergian Rizal. Apakan daya …suratan telah tertulis bahawa Rizal bukan jodoh buatku? Jodoh yang paling singkat dalam sejarah hidup ini dan paling berbisa kata – katanya hingga mengguris hatiku.

Jodohku yang terdahulu cuma mampu bertahan selama tiga hari. Selepas itu, dia menghilangkan diri tanpa berita. Dia melarikan diri bersama wang..barangan kemas yang dikumpulnya dengan hasil curian dirumahku. Tiada airmata yang gugur buat lelaki itu. Cuma Rizal …satu-satunya lelaki, suamiku yang kedua ini diakhiri dengan kata – kata nista dan kelukaan dihati. Airmataku mengalir deras…sederasnya.

Dalam pada itu rasa syukur ku panjatkan kepada-NYA kerana kesucianku masih terpelihara. Tubuhku belumpun sempat disentuhi mereka. Barangkali jijik melihat aku ataupun hilang kenafsuan terhadap aku yang cacat.

Aku segera mengunci pintu bilik menghalang dari dimasuki papa mahupun yang lain. Aku ingin bersendirian ketika ini. Perasaanku yang berkecamuk masih belum reda. Merebahkan tubuh ke katil dan menekup mukaku dengan kedua tangan sambil menangis lagi dengan teresak – esak.

Tangisku bukan atas penceraian ini tetapi tangisanku kerana penghinaan yang telah aku terima. Salahkah aku kerana buta? Salahkah aku untuk mengecapi alam bahagia seperti gadis normal? Kenapa kecacatan ini menjadi isu penting kepada mereka? Tidakkah mereka tahu aku juga punya perasaan..punya hati?. Mengapa harus aku yang menanggung semua ini…?

Astaghfirullahil’azim…

Aku tersedar dari mempertikaikan kejadian-NYA.

Tabahkanlah hati kau Sofea…anggaplah dugaan ini untuk menguji umatnya yang bertaqwa. Ingatlah! Sesungguhnya kau adalah manusia yang istimewa. Lebih istimewa berbanding insan yang lain. Alunan bisikan suara halus meresap ke rongga pendengaran memberi peringatan atas kealpaan diriku.

Merebahkan tubuh lesu di tilam empuk dan mata mulai terkatup perlahan bersama linangan sisa airmata yang masih belum kering.

************
Sebulan kemudian…

Setelah mengira bilangan barang yang dibeli mencukupi. Aku bergegas keluar dari kompleks mewah itu menuju ke tapak kereta tempat Pak Sudin menunggu. Kesian juga pada Pak Sudin yang sudah lama menunggu. Kedegilan aku untuk keluar sendirian tanpa ditemani mengundang masalah kepada orang lain terutama Pak Sudin. Taubat! aku tak buat lagi.

Dalam tergesa – gesa itu, tiba – tiba tubuhku terhuyung – hayang terlanggar sesuatu. Tongkat yang menjadi penyokong aku selama ini telah tercampak jauh. Tubuh terasa ingin jatuh menyembah bumi. Lantas aku cuba mencapai apa saja yang melintas di depan lalu tanganku terus menyentuh seseorang tanpa aku ketahui gerangannya.

Pautan dan jeritan seiring jatuh ke atas tubuh itu. “Maaf encik …maaf..maaf” berkali – kali ucapan itu ku tuturkan ketika aku cuba bangun untuk berdiri.

Dia diam tidak bersuara. Barangkali terkejut dengan apa yang berlaku. Rasa bersalah menebal dimuka. Wajahku seakan membahang menahan malu.

“Err..encik tak apa – apa. Saya minta maaf..saya benar – benar tak sengaja encik” tukasku lagi sambil tangan teraba – raba mencari barang yang berselerakan. Aneh juga dia masih lagi berdiam tapi aku dapat merasakan masih ada orang disitu. Gerak hatiku mengatakan dia sedang merenungku dengan satu pandangan yang pelik.

Tiba – tiba tanganku menyentuh sesuatu, barangkali barang yang ku beli tadi. Pasti dia yang menghulurkannya. Aku melemparkan senyuman. Itu saja yang mampu aku hadiahkan sebagai tanda terima kasihku kepadanya walaupun dia enggan bersuara.

“Manis senyuman awak” pujinya.

Eh! ke situ pulak… namun hatiku tetap berbunga dengan pujian ikhlas itu.

“Terima kasih ya encik sebab bantu saya tadi. Saya betul – betul minta maaf. Saya tak sengaja”.

“Tak pe…saya faham”

“Kenapa awak diam tadi” soalku tiba – tiba. Sebetulnya aku curiga mengapa dia membatu diri sebentar tadi.

“Saja…nak tatap wajah awak lama sikit. Cantik!”.

Ish! ..betul ke dia ni. Aku tersenyum simpul. Pujiannya membuatkan aku dilamun khayal. Cantikkah aku? Maniskah aku? Tak bisa aku menjawabnya dengan kedaifan diriku sendiri. Ah! mudah sangat aku termakan dengan pujian itu.

“Emm…mengelamun ya”

“Eh..mana ada”

“Tu, saya panggil tak dengar”

“Err..ada ke. Saya tak dengar pun”

“Memang tak de. Saja…nak uji awak”.

Hisy!..suka benar dia menutur perkataan ‘saja’. Lelaki itu menjadi ramah tiba – tiba. Yang menghairankan…naluriku turut tercuit dengan usikan lelaki itu malah merasakan dia seorang yang baik. Dari lenggok suaranya menggambarkan dia seorang yang ‘gentleman’ dan tidak memandang serong terhadap insan lemah sepertiku.

Kami jalan beriringan menuju ke kereta. Dia memimpinku disepanjang jalan sambil bercerita dan bergelak tawa. Aku rasa begitu selamat disampingnya. Walhal, dia langsung tidak ku kenali apatah lagi asing bagiku. Tapi…soal hati …sukar ditafsir dengan akal yang terbatas.

“Terima kasih sekali lagi. Menyusahkan awak aje” . Aku merendah diri.

“Sama – sama. Saya rela disusahkan oleh gadis secantik awak” dia masih memuji. Dan aku terbuai dengan irama pujian itu. Sungguh! hatiku sudah terpaut dengan bicara manis lelaki itu.

“Pak Sudin, maaf ya ..Sofea terlambat tadi” . Aku menghulurkan barang yang dibawa dan dia menyambutnya.

“Risau jugak Pak Sudin tadi. Ingatkan cik ‘Soppheah’ udah ilang” bahasa loghatnya yang masih tebal.

“Sofea takkan hilang kalau adanya encik disebelah Sofea ni, Pak Sudin” selorohku mengundang tawa lelaki itu. Berdekah dia ketawa sehingga menimbulkan rasa pelik dihatiku. Kelakar sangatkah!…

“Saya Kamal” katanya dengan tawa yang masih bersisa.

“Panggil aja Pak Sudin” Barangkali mereka berjabat tangan. Emm..baru aku tahu namanya Kamal setelah sekian lamanya berbual hingga aku terlupa menghulurkan salam perkenalan.

“Saya Sofea” tuturku tanpa dipinta.

“Sedap nama Sofea tu. Jaga diri ya..bye! jumpa lagi” bisiknya merdu ke telingaku. Hampir aku jatuh pengsan dengan bisikan yang meremangkan itu. Degupan jantungku berdenyut laju. Tak keruan hatiku digamit asmara. Belum pernah aku alami perasaan ini. Perasaan cinta yang berbunga – bunga.

“Hei! awak..tunggu. Macam mana kita nak berjumpa? Awak tak tanya pun nombor saya” soalan dungu dari aku yang dari tadi asyik gemuruh diamuk resah. Resah bakal kehilangan lelaki misteri yang telah mencuri sekeping hatiku dalam sekelip mata. Entah mengapa hatiku tiba – tiba jadi begini.

“Saya tahu segala – galanya tentang awak. Take care” bisiknya lagi. Dan kali ini aku tergamam kaku disitu. Tahu segalanya? Bagaimana? Apa maksudnya…

Malam semakin larut dan mataku terlalu sukar untuk dilelapkan. Fikiranku membayangi wajah Kamal, lelaki misteri yang telah membuatkan tidurku tidak lena, makanku sekadar beralas..mandiku cuma sekadar basah. Ah! Kamal ..siapakah kau yang sebenarnya. Mengapa hati ini tidak dapat bisa melupakan suara lunak itu. Akhirnya perlahan – lahan kelopak mata mengendur layu dan memberat …

**************

3 bulan berlalu…

“Papa, please! Sofea tak nak kahwin”, aku merenggek merayu pada papa yang bertegas untuk aku berkahwin lagi. Kali ini diplomasi yang papa jalankan tidak menarik minatku. Puas papa memujukku. Tidakkah papa mengambil iktibar dari perkahwinanku terdahulu. Belumpun sembuh hatiku yang terluka, papa sudah melakar rancangannya lagi.

“Sofea, papa lakukan semua ini semata – mata untuk kebaikanmu ..sayang. Janganlah…Sofea menolak lagi. Usia papa tak mampu bertahan lama. Papa sedih kalau – kalau Sofea akan tinggal keseorangan nanti. Terimalah lamaran ini sayang”.

Papa memujukku tanpa rasa jemu. Kebimbangan papa terhadap aku yang akan hidup bersendirian setelah ketiadaannya nanti benar – benar menggusarkan hatinya.

“Tapi pa..”

“Tak usah bertapi – tapi lagi. Sofea setuju saja” desak papa lagi.

“Sofea sebenarnya serik pa. Sofea dah tak sanggup lagi mengalirkan airmata. Cukuplah perkahwinan sebelum ini pa. Dua…pa, dua perkahwinan yang telah Sofea tempuhi. Semuanya menyakitkan, hati Sofea sakit”. Aku merintih hiba. Sebaknya dada terasa menusuk jantung. Tak sanggup lagi rasanya untuk aku menghadapi satu lagi perkahwinan yang papa rencanakan.

Papa mendengus perlahan. Kedengaran keluhan papa seakan berputus asa dan hampa. Pasti kecewa dengan aku. Tapi…apakan daya aku tak mahu peristiwa pahit itu berulang lagi. Aku lebih rela hidup bersendirian dari mempunyai suami yang hanya mengambil kesempatan dan menyakitkan hatiku.

Tidakkah papa memahami perasaan aku?. Lupakah papa pada kejadian yang telah berlaku dalam setiap perkahwinanku?. Bukankah semua perkahwinanku menemui kegagalan? Kenapa mesti papa merencanakan lagi perkahwinan ini? Aku semakin runsing memikirkan kehendak papa. Apakah sebenarnya tujuan papa?.

“Papa minta maaf Sofea. Memang papa pentingkan diri sendiri. Papa lansung tak fikirkan perasaan Sofea yang terluka. Papa kejam kan”.

“Pa..jangan cakap macam tu. Sedih Sofea” hatiku mula sebak.

Terasa air hangat menitik ke atas lenganku. Aku menyentuh wajah papa. Papa menangis!.

“Maafkan papa ..sayang”. Suara tua itu tersekat – sekat menahan sendu.

Dan airmataku turut jatuh membasahi pipi. Tangisan antara dua beranak menyentuh kesyahduan pagi itu. Hatiku terusik tatkala papa mengusap perlahan ubun kepalaku dan menguncup penuh kasih sayang. Lama benar papa tidak memperlakukan aku begitu. Sejak kecil papalah tempat aku bermanja dan mencurah kasih. Papa lah satu – satunya yang aku ada. Dialah ibu ..dialah ayah. Tak pernah kurang kasih sayang papa kepadaku. Dapatkah aku membalas jasanya dengan diriku yang serba kekurangan ini? Mampukah aku melampiaskan tanggungjawabku ke atas papa suatu hari nanti pabila usia menjangkau tua? Ah! pasti aku gagal. Serta – merta niat papa menjentik naluriku. Kini aku tersedar niat sebenar papa.

Mungkin inilah satu – satunya cara aku dapat membalas jasa papa…papa perlukan waris!

Keluhan kecil menghembus keluar. Aku mengalah demi papa.

“Sofea setuju pa” perlahan suaraku memberikan jawapan.

Papa terus memelukku. ” Terima kasih ..sayang”.

“Tapi pa..diri Sofea sendiri tidak sempurna apatah lagi status Sofea yang hina ini dapatkah mereka menerimanya nanti” aku akur kedaifan diriku sendiri.

“Insyaallah..sayang. Mereka pasti boleh terima. Lagipun dia bekas pekerja papa”.

“Seingat Sofea, pernikahan dulu pun anak kenalan papa jugak kan. Sahabat lama, rakan kongsi …semuanya yang terhutang budi dengan papa, semuanya ingin membalas jasa baik papa kononnya, akhirnya Sofea juga yang kecewa” aduku manja.

“Sayang …papa yakin kali ini. Dia pernah tengok Sofea, dia kenal Sofea. Takde masalah tentang itu. Dia sangggup terima Sofea seadanya. Dia ikhlas, papa kenal dia, papa percaya dia”.

Hah!? Aku benar – benar terkejut. Ingatanku terus menerjah ke peristiwa 3 bulan lalu. Kamal…satu –satunya lelaki yang pernah berbual denganku. Tapi tak mungkin! Kamal bukan kenalan papa, bukan bekas pekerja papa.

Ah! semuanya telah menjadi kenangan. Kenangan yang bisa membuatkan hatiku sepi dan kosong semula. Lelaki itu tidak pernah menghubungiku walau sedetik pun. Masakan dia tertarik dengan aku yang cacat. Cuma aku saja yang berangan – angan seorang diri. Sejak itu, aku tidak mahu lagi mengharap dan berhenti menanti sesuatu yang pasti bukan milikku. Siapa aku? Hanya si gadis buta yang ingin dikasihi dan telah mengalami kekecewaan di dalam 2 kali perkahwinannya.

“Percayalah sayang. Papa pasti kali ini, Sofea tidak akan kecewa lagi”.

“Baiklah pa. Sofea mengikut aje”.

Papa mendakap erat aku. Aku melentokkan kepala ke atas bahu papa minta dimanja.

Papa begitu yakin dengan rancangannya. Aku tersenyum tawar. Namun kegembiraan papa menjadi keutamaan aku. Jelas sekali papa gembira dengan persetujuanku, aku dapat rasakan dari riak nada suaranya yang beria – ria.

“Emm….kalau macam tu, majlis Sofea kali ini kita buat sederhana saja. Bulan depan lepas habis edah, papa adakan majlis nikah dan sanding sekaligus. Hanya jemput ahli keluarga terdekat . Tak perlu jemput ramai orang…papa pun naik segan jugak. Kesian anak papa…jadi bahan cemuhan orang. Tapi kita jangan hiraukan kata – kata orang, sayang. Yang penting Sofea bahagia. Sofea dapat suami yang boleh menjaga Sofea kelak…papa pula dapat cucu untuk bermain. Papa yakin Sofea tidak akan menyesal kali ini”. Celoteh papa dengan panjang lebar. Nada papa terlalu gembira.

Aku turut ketawa dengan impian papa yang terlalu tinggi itu. Masakan aku dapat suami yang begitu baik apatah lagi memberikan papa waris. Lihat saja apa yang telah terjadi sebelum ini. Gusar papa akan kecewa sendiri nanti.

******************

Mak Som setia menemaniku di kamar menanti upacara pembatalan air sembahyang yang akan dijalankan sebentar lagi. Menepuk lembut ke bahu mengisyaratkan kepadaku supaya bersedia. Pasti pihak lelaki sudah berkumpul untuk melaksanakan upacara ini sambil bergambar bersama pengantin baru. Gelak tawa dan usik – mengusik antara mereka memeriahkan suasana dikamarku. Barangkali gembira meraih mempelai sulung mereka. Khabarnya suamiku merupakan anak pertama dalam keluarganya.

Cincin disarung ke jari manisku sebagai simbolik kepada berakhirnya akad. Lantas satu kuncupan lembut menyentuh dahiku dan aku membalas dengan menguncup tangannya. Gamatnya suasana tatkala upacara itu selesai. Dia duduk disebelahku apabila dipinta untuk bergambar. Aku mengukir senyuman buat tetamu yang hadir. Entah bagaimana penerimaan mereka terhadap aku terutama lelaki disebelahku. Tiada rungutan mahupun umpatan dari pihak lelaki namun aku tetap gusar dan berhati – hati.

Usai berupacara, kamarku kembali sunyi. Sanak saudara yang riuh sebentar tadi beransur – ansur pulang. Saat ini hatiku mula membeku. Aku masih duduk kaku disitu. Mungkin pengalaman lalu banyak mengajar aku dan kesan luka yang ditinggalkan amat dalam. Lama juga aku menanti acara seterusnya. Namun suasana sepi bagaikan tiada penghuni. Hanya kedengaran bunyi kipas yang berpusing laju.

Dia tiada disinikah?.. Aku masih ragu. Cuba mengamati suasana kamar, namun seperti tiada sesiapa di sini. Perasaan lega terbit dihati. Barangkali dia sibuk mengiringi kepulangan ahli keluarganya. Pedulikanlah! Aku duduk bersandar dikepala katil sambil mata kupejam untuk menghilangkan rasa keletihan.

Tiba – tiba jam randik berbunyi menunjukkan hampir sejam lelaki yang bergelar suamiku itu menghilang. Kelibatnya tidak muncul setelah sekian lama diminta untuk mengiringi keluarganya pulang ataupun dia sendiri sudah melarikan diri. Ah! pastinya dia juga bersikap seperti suami – suamiku yang sebelum ini. Aku tidak peduli lagi. Kekecewaan yang aku alami kelangsungan dari kisah lalu benar – benar membuatkan aku nanar menanggungnya.

Benci dengan situasi ini, pantas aku bangun dan mengunci pintu bilik. Bohong kalau aku katakan aku tidak terluka. Sememangnya aku benar – benar terluka dan perit hatiku mengigit jiwa. Aku menangis lagi. Airmata yang gugur pantas ku seka. Mengenang apa yang terjadi hanya membuatkan perasaanku lebih parah. Sudahnya aku menyalin pakaian lalu menuju ke kamar mandi.

Usai mandi aku meraba – raba pakaian tidur yang sesuai buatku. Menyisir rambut lurus ke belakang dan menyapu sedikit losyen pada badan sebelum masuk beradu. Agak tenang jiwaku ketika ini. Aku tidak perlu lagi memikirkan lelaki yang telah menjadi suamiku itu. Sudah ku jangka pasti dia juga telah melarikan diri bersama keluarganya. Bacul! Aku tersengih sendiri.

Tiba – tiba tubuhku terasa dingin seperti ditiup sang angin. Aku terperanjat dan ingin menjerit. Namun jeritanku tidak kesampaian kerana mulutku telah ditekup terlebih dahulu oleh tangan kasar itu. Aku meronta tatkala tubuhku dipeluk erat oleh lelaki itu. Dia membisikkan sesuatu ditelingaku. Aku tergamam dan tidak lagi mampu bergerak.

“Saya cintakan awak”.

Aku kaku dan pegun mendengar ungkapan keramat itu.

“Hei! kenapa ni?”. Tubuhku digoncang perlahan. Aku bagaikan tersedar dari dipukau. Aku kenal suara itu.

“Kamal…” perlahan dan lemah suaraku mengalunkan nama itu. Nama lelaki misteri yang aku gilai suatu ketika dulu. Hampir aku melenyapkan suara lunak itu dari kotak ingatanku kerana terlalu lama tidak mendengar perkhabaran darinya Saat itu aku berputus asa dan kecewa.

Rasa debar dan takut sebentar tadi, kini bagaikan disuntik semangat baru seolah – olah aku pulih dari penyakit misteri. Hatiku mekar berbunga dan girang tatkala Kamal mengesahkan dia telah sah menjadi suamiku sebentar tadi. Sememangnya aku mengharapkan kehadiran Kamal disisiku. Aku terus mendakap Kamal erat tanpa rasa segan silu. Melepaskan segala kerinduanku terhadapnya yang selama ini menyepikan diri.

“Rindu sangat ke?”.

“Emm..teramat – amat”. Aku meluahkan sejujurnya. Kamal ketawa.

“Mana awak pergi selama ini. Janji nak hubungi saya, saya tunggu awak tau”.

Dia ketawa lagi. Aku melepaskan rangkulan seolah merajuk. Dia menarik semula tubuhku ke dalam pelukannya.

“Kan…saya dah kata, saya tahu segala – galanya tentang awak. Tak perlu susah – susah ‘call’ , saya ikat terus”.

“Eeii..kejamnya”. Aku mengadu manja. Dia terus ketawa.

“Sejak bila awak berada dalam bilik saya” tanyaku lagi. Rasa curiga mula mencengkam kerana pintu bilik telah ku kunci sebaik saja mereka semua beredar pulang.

“Emm…sejak dari awal lagi” tuturnya nakal. Aku cuak mendengarnya.

“Maknanya….awak !!!…eeiii..jahatnya!!!” sungguh aku memahami maksudnya itu.

Tiada kata mahupun pun ungkapan mampu dibicarakan lagi. Aku tenggelam dalam kuncupan lembut Kamal yang memberahikan. Hangatnya tubuh dalam pelukan Kamal membawa diriku hanyut bersamanya mengalun ombak asmara.

******************
8 bulan…

Tekak yang kering dengan kepanasan badan yang meresahkan tidurku memaksa aku untuk bangun mencari seteguk air buat penghilang dahaga dan penyejuk badan.

Tangan meraba mencari suami disebelah yang hilang di waktu dinihari. Kemanakah dia pergi?. Dengan kepayahan aku bangun dari katil. Badan yang semakin memberat menyukarkan langkahku untuk ke dapur. Mengusap kandunganku yang hampir mencecah 8 bulan agar tenang dan selesa kerana ketika ini bayiku terlalu kerap bergerak aktif dan mula mengeras. Sakitnya pingang dan lenguh badan setiap hari menyebabkan aku tidak dapat bergerak banyak. Hanya bantuan Mak Som saja yang aku harapkan bagi mengurut kakiku yang sering berasa kebas. Kalau mengharap suamiku entahlah…sejak akhir – akhir ini dia agak dingin malah tidak semesra seperti dulu lagi.

Aku melangkah perlahan sambil memegang kuat palang menuruni anak tangga khuatir tergelincir. Tiba – tiba jantungku berdegup kencang, suara orang sedang bergurau senda menyusup halus ke pendengaranku. Aku cuba merapati ke dinding agar lebih jelas apa yang ingin aku dengari. Dengupan jantungku semakin hebat. Suara Kamal bersama seseorang! Perempuan!. Gelak tawa perempuan itu amat manja dan sesekali merengek diselang seli pula suara garau suamiku.

Ya! tuhan ..apakah yang telah berlaku. Aku memasang telinga dibalik dinding itu. Hatiku terus berkecamuk dan hancur luluh…

“Honey…bila you nak cerai perempuan tu”.

“Sabar sayang. Sikit masa aje lagi. Sekarang ini, perempuan tu kena lahirkan dulu anak I. Kalau lelaki, I dapat separuh dari harta orang tua tu. Tapi kalau perempuan I hanya dibayar RM 500,000 aje”.

“Takkan perut dah membesar macam tu you tak tahu lagi jantinanya”.

“Sayang…Tan Sri Syed Munir tu licik orangnya. Dia upah doktor peribadi so semuanya telah diatur. I tak boleh tahu sehingga anak itu lahir. Dia tahu I akan cabut selepas dapat harta dia”.

“You memang sengaja melengah – lengah kan. I dah tak sabar tau. I bosan menyelinap macam ni. Nak tunggu orang gaji you tu balik kampung lah, drebar you MC lah, orang tua tu outstation lah…baru I boleh jumpa you. Kalau tidak, I sorang – sorang menanggung rindu tau”.

“Emm…jangan risau sayang, malam ini I bayar balik kerinduan you tu. I bayar ‘double’ tau. Lagipun si buta tu dah tidur mampus, boleh lah kita beraksi hebat malam ni”.

“Eeii…nakal betul you”.

Suara menggoda itu lenyap ditelan keasyikkan asmara.

Aku terduduk disitu menekup mulut menahan sebak yang membuak di dada. Semakin ku tahan semakin hatiku sakit, pedih dihiris belati tajam. Akhirnya airmata tidak dapat lagiku tahan – tahan. Curahan airmata yang turun bagaikan hujan membasahi bajuku. Betapa hancurnya hatiku mendengarkan pendustaan itu. Sakitnya hatiku, peritnya jiwaku menanggung kepura – puraan suamiku selama ini. Sia – sia kasih – sayang yang aku curahkan sepenuhnya terhadap lelaki itu. Tergamak dia mendustai hubungan suci ini. Kejam sungguh kau, Kamal. Memperlakukan aku seperti ini demi harta, demi wang yang dijanjikan oleh papa. Papa…inikah kebahagiaan yang dijanjikan kepada Sofea. Tergamak papa menjual Sofea demi waris keturunan Tan Sri Syed Munir. Pa…Sofea kecewa…Sofea sedih …

Tersedu – sedan aku menahan tangis. Hatiku telah hancur sama sekali. Kamal, kau penipu…papa pula terlalu kejam. Aku tertipu selama ini. Apakah benih di dalam perutku ini juga hasil dari cinta palsu juga? Ya Tuhan! Berat sungguh dugaan mu. Bantulah aku…

**************

25 tahun …

“Zarra…please, listen to me..lupakan rancangan you tu” Imran masih memujuk sambil memeluk belakang gadis kesayangannya. Dia menguncup lembut leher gadis itu. Gadis itu kegelian.

“Im…tolong I okay. I need your support bukan komen”. Zarra melepaskan pelukan itu lalu duduk semula ke ruang sofa. Imran membontotinya.

“I dah tak tahu nak nasihatkan you macam mana” keluh lelaki itu.

“Emm…tak payah nasihat, you tolong I cukup sayang” ulas Zarra lalu menguncup lembut bibir lelaki itu. Taktiknya untuk menawan hati Imran yang terlalu luhur itu. Dia tahu lelaki itu kurang bersetuju dengan tindak – tanduknya kini.

“Kita kahwin”.

“Not now…Imran” bibir yang bertaut tadi dileraikan. Zarra memalingkan wajahnya ke arah lain. Dia tidak mampu menatap mata lelaki dihadapan yang begitu mengharap jawapan darinya.

“But when, Zarra. I tunggu jawapan you dari UK hingga kita balik ke Malaysia. And your answer still no, why?” nada Imran kecewa.

“Sayang, you tahu kan, selagi I tak balas setiap penderitaan mama I, selagi itu hidup I takkan tenteram. I tak boleh hidup berpura – pura gembira dengan you sedangkan hati I sakit dan penuh dendam dengan orang tua tu” luah Zarra dengan bibirnya diketap geram.

“Orang tua kan papa you, ayah kandung you Zarra”. Imran cuba mengingatkan status orang tua yang didendami Zarra.

“No…he’s not. I hate him…hate! hate!” jerit Zarra sepenuh hati. Pantas Imran memeluk gadis yang hampir hilang pertimbangan itu. Dia mengusap lembut belakang gadis itu. Menenangkan jiwa Zarra yang berkecamuk dek dendam kesumat yang telah bersarang dihatinya sejak mengetahui cerita dari mulut papanya sendiri. Menyesal sungguh Imran mendesak papanya menceritakan tempoh hari. Semenjak itu, Zarra bukan lagi yang dia kenali. Lebih suka bermurung dan sering bersendirian.

Setelah menjejakkan kaki ke bumi Malaysia, Zarra tidak lagi mempunyai niat yang lain selain dari membalas dendam kepada lelaki yang telah membuatkan mamanya menderita dan terseksa. Dirinya terlalu fokus kepada rancangan dendamnya hingga mengabaikan perasaan Imran, lelaki yang telah bertahta dihati Zarra sejak kecil lagi. Imran rasa bersalah dan gusar.

“I janji Imran, selepas segalanya selesai, kita akan balik UK, ya sayang. Kita bina hidup baru…boleh kan” ujar Zarra lembut cuba berdiplomasi.

“Tapi I risau sayang. I takut you hilang pertimbang. I tak nak you jadi macam ni. Boleh tak you lupakan saja dendam you. Arwah mama you pun tidak pernah minta you menaruh dendam kan. Don’t you get it. Kita balik UK ya…and married. You jadi wife I dan lahirkan ramai anak untuk I. This is I want. I tak nak you sibuk – sibuk dengan lelaki tua tu”, ungkap Imran yang tidak putus memujuk.

“Im…please….I love you, I need you…sayang. But…” kata – kata Zarra tersekat. Dia sebak dengan permintaan Imran. Air panas jatuh dari kelopak mata Zarra. Imran menyeka dengan jari.

“I love you too, sayang” Imran menguncup lembut dahi Zarra. Lama mereka berdakapan. Melepaskan rasa yang bercampur baur dihati masing – masing.

Zarra tahu budi baik Imran sekeluarga tidak bisa dia membalasnya walau 7 keturunan lahir dari rahimnya. Papa Imran dan datuknya telah banyak berjasa membantu arwah mama dan dirinya. Tindakan mereka menyelamatkan mama melarikan diri pada malam durjana itu adalah tepat dan wajar. Bimbang pada ancaman, mama telah dibawa ke luar negara bersama Zarra yang masih bayi. Zarra benar – benar terhutang budi. Dia nekad membalas segala budi baik mereka hingga ke titisan hayatnya.

********

Zarra meneliti alamat yang ditulis pada sekeping kertas pemberian anak Pak Sudin. Sesekali matanya menoleh ke luar mengecam rumah yang ingin dia cari. Imran terus memandu perlahan ke hadapan.

“Im…stop here!” arah Zarra tiba – tiba. Nissan Murano hitam berkilat berhenti mengejut.

“Sayang …you ni buat terkejut aje”.

“Sorry …Im” pantas Zarra mencium pipi lelaki itu. Hadiah buat lelaki yang amat memahami dirinya. Imran tersenyum. Tewas dirinya dengan karenah Zarra yang manja.

“I rasa ini banglo yang ditulis dalam kertas ini. See…No. 10, betul tak” Zarra menunjukkan alamat itu kepada Imran.

“Yup! Your are right, sayang. Jom!”.

Loceng di luar pagar banglo mewah itu ditekan. Setelah beberapa kali menekan, akhirnya muncul seorang wanita separuh usia dengan langkah terkedek – kedek menghampiri mereka. Dari gaya pakaian dan lenggoknya, pasti wanita itu seorang pembantu rumah.

“Ya, cik…cari siapa”.

“Boleh saya jumpa dengan tuan rumah milik banglo ini” pinta Zarra penuh hemah.

“Kalau Tan Sri itu udah lama meninggal cik, tapi kalau dato’ itu menantunya, ada di rumah sakit, alami kecelakaan minggu yang lalu” ujar wanita separuh usia itu. Zarra dan Imran terkejut dan saling memandang.

“Maksudnya Dato’ Kamal kemalangan?” Zarra menekankan maksud wanita itu.

“Iya! dato’ sekeluarga kemalangan semasa pulang dari bercuti. Isteri dan anaknya meninggal dunia cuma dato’ aja yang dapat diselamatkan. Kamu ini siapa?” si pembantu rumah mula curiga.

“Oh! Saya saudara jauhnya. Baru pulang dari luar negara. Boleh saya tahu rumah sakit yang mana satu dato’ sekarang” jawab Zarra lembut bagi menyakin pembantu rumah itu yang mula curiga itu.

“Tunggu! Saya ambilkan alamatnya” pembantu rumah itu berlalu meninggalkan Zarra dan Imran menanti diluar pagar.

Zarra menggengam erat tangan Imran. Sesungguhnya hati Zarra tidak keruan. Perasaannya berkecamuk. Berita yang disampaikan pembantu rumah itu tadi benar – benar menggusarkan hati. Tahap dendamnya mula menurun.

“Sayang..are you okay”. Imran mula bertanya menyedari kegelisahan Zarra.

“Ya! I’m okay”, Zarra berpura tenang.

“Rasanya inilah banglo mama I membesar kan, Im” Zarra mengubah topik. Hatinya sebak. Imran mengangguk. Merenung lama wajah muram gadis itu. Dia tahu hati Zarra tersentuh melihat banglo mewah tempat kelahiran mamanya yang kosong dan sunyi. Kelihatan banglo itu agak suram dan lama tidak dibersihkan. Banyak dedaun kering dan ranting kayu yang berselerakkan.

“Mama I tidak pernah menceritakan bahawa dia anak orang berada, Im. Selama ini I tak pernah tahu latar belakang mama. Mama suka berahsia. Malah ayah kandung I sekalipun, mama tak pernah ceritakan. I sedih betul , Im” Zarra meluahkan rasa hatinya yang terpendam selama ini.

“Mungkin ada hikmah disebaliknya” ringkas dan berhati – hati Imran bertutur agar tidak menambahkan lagi kesayuan buah hatinya.

“Ya! Mybe”.

Mereka beredar setelah memperolehi alamat hospital Dato’ Kamal ditempatkan. Zarra berusaha untuk berjumpa dengan lelaki tua itu. Dia perlukan jawapan. Dia mahukan penjelasan. Penjelasan kepada perbuatan kejinya terhadap mama. Isteri kepada lelaki tua itu suatu ketika dulu. Ah! jijik benar dia nak menyebut lelaki tua itu papa …tidak mungkin sama sekali dia mampu memanggilnya dengan panggilan itu walau badannya dicincang lumat. Dendam Zarra mula membara dan membakar .

********

Zarra dan Imran terpaksa berpatah semula ke tingkat bawah setelah dimaklumkan bahawa pesakit bernama Dato’ Kamal telah dipindahkan ke wad khas pagi tadi. Keadaannya kembali stabil selepas hampir dua minggu di wad ICU.

Zarra bergegas melangkah menuju ke wad di mana lelaki itu dikhaskan. Bau ubat – ubatan menyusuk hidung. Dia sedikit kepeningan. Barangkali tidak biasa dengan bau yang sebegitu. Imran mengerling sekilas. Tahu benar dia akan alergi kekasihnya itu. Seorang yang takutkan ubat, picagari dan tidak suka ke klinik mahupun hospital. Imran tersenyum nipis.

Zarra berdebar ketika menguak pintu bilik wad tersebut. Debarannya hampir tidak dapat dikawal. Imran pantas mengenggam tangan Zarra bagi mengurangkan tekanan gadis itu.

“Zarra…relax, okay”.

“Emm…” Zarra menghela nafas panjang. Lemah langkahnya menghampiri sekujur tubuh yang penuh dengan wayar dan tiub. Zarra benar – benar tidak menyangka bahawa dia perlu melalui semua ini tanpa di sangka. Dendamnya hancur luluh tatkala melihatkan keadaan ayahnya, Dato Kamal yang tidak sedarkan diri. Airmata berterusan mengalir membasahi pipi. Dia tidak tahu mana satukah perasaan yang perlu diluahkan. Dendamkah? Simpatikah? Atau kasihkah? kasihnya anak terhadap seorang ayah?. Zarra jadi buntu. Imran disamping Zarra sentiasa memberi kekuatan dan menitipkan semangat agar gadis kesayangannya terus tabah menghadapi.

Dato Kamal dimaklumkan tidak lagi mampu bergerak kerana separuh badannya lumpuh. Penglihatannya juga dikatakan rosak teruk malah pendarahan beku di kepala membuatkan nyawa Dato Kamal bagaikan dihujung tanduk.

Zarra menangis teresak – esak setelah doktor selesai menerangkan keadaan Dato Kamal yang parah. Mungkin benar kehendak tuhan, dia ditakdirkan bertemu semula dengan ayahnya dalam keadaan begini barangkali menagih harga sebuah kemaafan darinya. Zarra akur lalu mengenggam tangan tua itu dan dikuncupnya hingga menitiskan airmata. Hatinya benar – benar terusik. Selama ini perasaan dendamnya lahir dari nafsu amarah terhadap setiap perbuatan kejam Dato Kamal. Apa gunanya lagi dia menyimpan dendam itu pada orang yang sedang menghadapi maut. Memberi kemaafan adalah penawar hati yang paling baik.

Zarra merapati bibirnya ke telinga Dato Kamal. Dia membisikkan sesuatu bersama juraian airmata yang melimpah. Dan disaat itu juga Dato Kamal menghembuskan nafasnya yang terakhir di sisi anak yang tidak sempat dikenalinya.

Imran memaut bahu Zarra bagi menenangkan kesedihan gadis itu.

“Sudah lah tu ..sayang. Tabahkan hati you” pujuk Imran perlahan.

“I berdosa Im…I tak sempat minta ampun pada papa I. Selama ini dalam hati I cuma ada dendam. I marah dia. I benci dia. I tak sepatutnya buat begitu padanya walau jahat mana dia sekalipun dia tetap papa I. I berdosa” ucap Zarra dalam nada yang tersekat – sekat.

“Kita doakan yang terbaik buat papa dan mama you ya. Semoga roh mereka dicucuri rahmat” ucap Imran penuh keinsafan. Zarra menangis di dalam dakapan Imran. Dan airmata terus bercucuran

Apai
Admin
Admin

Posts : 116
Points : 292
Reputation : 0
Join date : 10/07/2011
Age : 25
Location : Kedah Alor Star

View user profile

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top


 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum